Thursday, August 04, 2005

Penjelasan Isu Harga Minyak dan Subsidi

1. Kenapa harga minyak naik akhir-akhir ini di pasaran antarabangsa?


• Sejak pertengahan tahun 2004, harga minyak mentah telah meningkat mendadak di pasaran dunia. Sebenarnya harga minyak mentah jenis West Texas Intermediate (iaitu harga rujukan di Amerika Syarikat dan dunia) telah meningkat daripada AS$19 setong pada 1993 kepada AS$31 pada 2003, kira-kira AS$51 pada Oktober 2004 dan mencecah AS$60 akhir-akhir ini.


• Punca utama keadaan ini berlaku ialah:

- Permintaan (82.5 juta tong sehari pada tahun 200
4) hampir sama dengan bekalan (83.0 juta tong sehari) yang menyebabkan pasaran menjadi lebih tertekan;

- Permintaan minyak dunia semakin meningkat selaras dengan pertumbuhan ekonomi, khususnya dengan pertambahan penggunaan oleh China, India dan Amerika Syarikat;


- Keadaan yang tidak stabil di beberapa negara OPEC seperti Iraq, Nigeria dan Venezuela;

- Cuaca buruk yang dialami beberapa negara pengeluar minyak seperti Hurricane Emily di Mexico yang menjejaskan pengeluaran minyak di negara itu; dan


- Kegiatan spekulasi harga minyak.


2. Negara kita menghasilkan minyak. Jadi kenapa harga minyak di Malaysia perlu naik juga?


• Harga minyak dan produk petroleum ditentukan oleh pasaran dunia dan di luar kawalan kita. Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) memainkan peranan penting dalam menentukan tahap pengeluaran minyak dunia, dan dengan itu mempengaruhi harga pasaran minyak. Walaupun Malaysia mengeluar dan mengeksport minyak, ia bukan ahli OPEC atau negara pengeluar minyak yang besar.


• Jika berlaku kenaikan harga minyak yang tinggi di pasaran dunia, ia memberi kesan kepada harga produk petroleum seperti diesel, petrol dan gas memasak (LPG) di negara kita.

Kenaikan harga purata minyak di pasaran dunia WTI (AS$/Setong)

----------------------------------------------------------------------
AS$/Setong
1971 3.21
1973 4.25
1974 12.93
1979 32.11
1980 37.89
1990 23.71
2000 28.14
2001 24.11
2002 25.45
2003 28.84
2004 38.46
2005 59.94
----------------------------------------------------------------------

3. Berapa harga minyak di Malaysia berbanding negara-negara jiran?

• Secara perbandingan, harga minyak di Malaysia lebih murah daripada kebanyakan negara ASEAN. Malah, ia adalah antara terendah di dunia.


• Perbezaan harga diesel antara Malaysia dengan Thailand dan Singapura misalnya, sangat ketara. Sebab itu, apabila rakyat negara tersebut masuk ke Malaysia, mereka mengisi penuh tangki minyak kenderaan mereka.


Jadual 2


Bandingan harga minyak di rantau ASEAN


Negara RON97 RON92 DIESEL LPG
RM/Liter RM/Liter RM/Liter RM/Kg

Malaysia 1.62 1.58 1.28 1.45
Thailand 2.29 2.21 1.82 1.65
Singapura 3.76 3.48 2.36 -
Filipina 2.07 2.04 1.78 1.25
Indonesia 1.70 1.64 0.86 -
Brunei 1.20 1.18 0.70 1.38


4. Bagaimana Kerajaan memastikan harga minyak lebih rendah daripada negara-negara jiran?


• Kerajaan memastikan harga produk petroleum rendah dengan memberi pengecualian cukai jualan dan subsidi kepada semua pengguna bahan petroleum (petrol, diesel dan gas memasak).


• Dengan adanya subsidi dan pengecualian cukai jualan maka pengusaha pengangkutan awam seperti bas dan teksi boleh menyediakan perkhidmatan yang murah kepada orang ramai. Subsidi juga dapat mengurangkan kos operasi golongan nelayan dan pengusaha pengangkutan sungai di Sabah dan Sarawak.


5. Bagaimanakah harga runcit produk petroleum ditentukan?


• Mekanisma harga yang digunakan untuk penetapan harga runcit produk petroleum telah diwujudkan pada tahun 1983.


• Secara ringkas, harga runcit petrol, diesel dan gas memasak ditentukan seperti berikut :
Kos Produk Petroleum
+ Kos Operasi
+ Margin Syarikat Pengedar Produk Petroleum
+ Komisen Pemilik Stesen Minyak
+ Cukai Jualan
- Subsidi
= Harga Runcit


• Mekanisma harga itu bersandarkan harga pasaran antarabangsa. Berasaskan harga antarabangsa itu, unsur kos operasi seperti kos agihan dan kos pemasaran serta cukai jualan diambilkira untuk harga sebenar. Di Malaysia, harga runcit minyak lebih murah daripada harga di negara lain oleh kerana kita memberikan subsidi dan pengecualian cukai jualan.


• Sebagai contoh, harga runcit petrol RON97 pada 31 Julai 2005 adalah seperti berikut :


Jadual 3


Harga Runcit Petrol RON97 (sen seliter)


6. Apakah maksud subsidi?


• Subsidi adalah wang yang dibayar oleh Kerajaan kepada pengeluar atau penjual sesuatu produk supaya harga runcit produk tersebut rendah berbanding kos sebenar atau harga pasaran. Subsidi merupakan bantuan untuk meringankan beban kepada pengguna.

7. Berapa lamakah subsidi ini akan dikekalkan? Perlukah ia dihapuskan?


• Kerajaan akan terus menyediakan subsidi minyak tetapi akan menentukan tahap subsidi yang mampu ditanggung olehnya.


• Kerajaan sedang merangka kaedah yang lebih baik bagi memastikan bahan petrol seperti diesel dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar layak termasuk nelayan, pengusaha kenderaan awam seperti bas dan teksi serta pengusaha pengangkutan sungai di Sabah dan Sarawak.


8. Apakah maksud kehilangan cukai?


• Penjualan diesel dan petrol adalah tertakluk kepada cukai jualan sebanyak 19.64 sen seliter bagi diesel dan 58.62 sen seliter bagi petrol. Walau bagaimanapun, cukai jualan tidak dikenakan ke atas gas memasak. Cukai jualan ini yang diperkenalkan pada tahun 1983, dikenakan sebagai salah satu punca hasil Kerajaan di samping menjadi alat penstabil harga produk petroleum. Oleh itu, untuk mengurangkan harga runcit produk petroleum, langkah pertama yang diambil oleh Kerajaan ialah memberi pengecualian cukai jualan ke atas produk berkenaan yang menyebabkan Kerajaan mengalami kehilangan hasil cukai.


• Sejak kebelakangan ini, jumlah pengecualian cukai ini semakin besar. Umpamanya pada tahun 1993, kehilangan hasil adalah RM190.8 juta sahaja tetapi meningkat kepada RM2.6 bilion pada tahun 1999 dan terus meningkat kepada RM7.9 bilion pada tahun 2005. Pengecualian keseluruhan cukai jualan ke atas diesel wujud sejak daripada bulan Oktober 1999 lagi berikutan harga diesel yang semakin meningkat manakala bagi petrol sejak Jun 2004.


9. Apakah kesan negatif daripada subsidi?


• Salah satu kesan negatif ialah berlakunya herotan pasaran (market distortion) yang boleh menjejaskan ekonomi negara. Ini bermakna harga komoditi berkenaan tidak menggambarkan kos sebenar kerana harga pasaran adalah di bawah harga sebenar. Akibatnya akan berlaku penggunaan yang berlebihan dan pembaziran. Di samping itu, akan timbul kegiatan yang tidak sihat seperti penyelewengan, penipuan dan penyeludupan. Kerajaan tidak boleh biarkan jurang antara harga pasaran dan harga subsidi terus melebar kerana ini boleh menggalakkan penyelewengan. Ada pihak yang tidak bertanggungjawab membeli diesel pada harga subsidi dan menjualnya kepada kilang/industri pada harga pasaran yang lebih tinggi.


• Satu lagi kesan ialah berlakunya penyeludupan minyak, khususnya diesel Malaysia untuk dijual ke negara jiran. Ini seumpama memberi subsidi kepada rakyat asing. Akibatnya, kumpulan sasar tidak mendapat manfaat sepenuhnya kerana faedah ini turut dinikmati orang yang tidak layak, yakni orang asing. Negara kerugian besar. Andainya 10 peratus minyak Malaysia diseludup ke luar, ertinya negara kehilangan RM660 juta subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia, berdasarkan subsidi sebanyak RM6.6 bilion yang dianggarkan pada akhir 2005.


• Juga penyeludupan minyak memerlukan Kerajaan membuat belanja tambahan untuk meningkatkan penguatkuasaan melalui tambahan kakitangan dan peralatan pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyekat penyeludupan.

• Selain itu, subsidi yang begitu besar merupakan kos melepas kerana jumlah itu boleh diguna untuk memberi manfaat kepada rakyat dan generasi masa depan, yakni anak cucu kita seperti membina sekolah, hospital dan pelbagai kemudahan awam.


• Pada hari ini, subsidi juga menguntungkan orang kaya yang memiliki banyak kereta berbanding orang miskin yang mempunyai motosikal. Ini tidak adil. Lebih baik jika wang yang digunakan untuk subsidi ini dipakai untuk tujuan-tujuan lain yang lebih menguntungkan rakyat jelata.


• Apabila jumlah subsidi meningkat jumlah wang yang ada untuk pembangunan akan berkurangan.


• Pemberian subsidi juga mengurangkan keupayaan Kerajaan untuk mengurangkan defisit negara.


10. Berapa harga sebenar minyak dan bahan petroleum jika tiada subsidi?


• Tanpa subsidi, harga petrol premium (RON97) ialah RM2.45 seliter dan bukannya RM1.62 seperti

harga sekarang. Sebenarnya, apabila seseorang pengguna membeli seliter petrol premium di Semenanjung Malaysia, Kerajaan menanggung beban sebanyak 82.82 sen, yakni 58.62 sen dalam bentuk pengecualian cukai jualan dan 24.20 sen dalam bentuk subsidi.


Jadual 4


• Harga pasaran diesel tanpa subsidi di Semenanjung sepatutnya RM2.07 seliter. Tapi pengguna membeli seliter diesel dengan harga RM1.28 sahaja. Ini kerana adanya subsidi 59.13 sen seliter dan pengecualian cukai jualan 19.64 sen.


• Harga pasaran gas memasak (LPG) tanpa subsidi di Semenanjung adalah RM2.39 sekilogram. Tapi pengguna membeli sekilogram LPG dengan harga RM1.45 sahaja. Ini kerana adanya subsidi 93.92 sen sekilogram. Umpamanya, bagi satu tong gas 12 kilogram harga yang kita bayar adalah RM17.40 tetapi harga sebenar ialah RM28.67. Jadi bagi setiap tong gas, Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM11.27.


11. Berapakah perbelanjaan Kerajaan untuk subsidi minyak?


• Jumlah subsidi bergantung kepada penggunaan minyak. Semakin banyak minyak digunakan rakyat, semakin tinggilah bebanan subsidi yang ditanggung Kerajaan.

Jadual 5


• Seperti yang ditunjukkan dalam jadual di atas, subsidi yang diberikan pada tahun 2001 adalah RM2.4 bilion berasaskan harga purata minyak mentah WTI sebanyak AS$25.24 setong. Pada 2004 subsidi meningkat kepada RM4.8 bilion berdasarkan harga purata minyak mentah dunia sebanyak AS$41.60 setong.


• Ini belum mengambil kira kehilangan hasil yang juga kian meningkat sejak 2002, dari RM3.3 bilion pada tahun 2002 kepada RM4.8 bilion pada tahun 2003 dan RM7.2 bilion pada tahun 2004.


• Bagi tahun 2005, dengan menaikkan harga runcit diesel dan petrol pada 31 Julai 2005, Kerajaan dapat menjimatkan subsidi sebanyak RM1 bilion menjadi RM6.6 bilion pada tahun 2005 berbanding RM7.6 bilion jika harga tidak dinaikkan (2004: subsidi RM4.8 bilion) seperti yang ditunjukkan di jadual di atas.


• Subsidi yang begitu besar merupakan kos melepas kerana jumlah tersebut boleh digunakan untuk tujuan yang lebih produktif dan berfaedah kepada rakyat seperti membina sekolah atau kemudahan awam.


12. Kerajaan memperoleh faedah daripada kenaikan harga minyak. Tidak bolehkah Kerajaan menambah tanggungan subsidi?


• Jika harga minyak naik, hasil PETRONAS naik, hasil Kerajaan juga naik. Tapi pada masa yang sama subsidi minyak yang ditanggung oleh Kerajaan juga naik, dari RM4.8 bilion tahun 2004 kepada jangkaan RM6.6 bilion tahun ini.


• Jadi, memang benar negara mendapat keuntungan lebih tinggi dengan kenaikan harga minyak kerana pendapatan negara bertambah hasil daripada pertambahan eksport. Namun, Kerajaan perlu bertanggungjawab dalam membelanjakan pendapatan ini. Adalah tidak wajar 100 peratus keuntungan atau pendapatan ini digunakan semata-mata untuk subsidi minyak.


• Namun begitu perlu diingat, bahawa kita beroleh keuntungan dari kenaikan harga minyak pada jangka pendek sahaja. Pada jangka sederhana, kenaikan harga minyak menjejaskan ekonomi dunia dan sebagai sebuah ekonomi terbuka, eksport kita akan merosot. Hasil negara akan berkurangan dan ini akan menjejaskan ekonomi negara. Oleh itu dalam jangka sederhana, kenaikan harga minyak sebenarnya tidak menguntungkan kita.


• Lagipun, sebahagian keperluan minyak oleh rakyat negara ini perlu dibeli dan diimport dari negara lain. Ini bermakna walaupun kenaikan harga minyak dunia menyebabkan hasil bertambah, ia juga bermakna negara perlu berbelanja lebih untuk mengimport minyak pada harga yang lebih tinggi.

13. Apakah impak pemberian subsidi petroleum kepada kewangan Kerajaan?


• Subsidi yang diberikan serta pengorbanan hasil memberi kesan ke atas kewangan Kerajaan. Ini dapat dilihat dari lima sudut:-


- Pertama, ia menyebabkan perbelanjaan mengurus meningkat. Subsidi sebanyak RM6.6 bilion pada tahun 2005 merupakan 7.4 peratus daripada perbelanjaan mengurus. Jika tiada subsidi, perbelanjaan mengurus dapat dikurangkan dan ini mengurangkan defisit Kerajaan.


- Kedua, jika tidak digunakan untuk mengurangkan defisit, penjimatan daripada subsidi boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan pembangunan. Jumlah RM6.6 bilion tersebut merupakan 23.3 peratus daripada perbelanjaan pembangunan tahun 2005. Jika kos membina sebuah sekolah menengah adalah RM11 juta, jumlah ini dapat membina 600 buah sekolah.


- Ketiga, kehilangan hasil akibat daripada pengecualian cukai menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan. Kehilangan hasil sebanyak RM7.9 bilion pada tahun 2005 merupakan 8 peratus daripada jumlah hasil. Kehilangan hasil berjumlah RM7.9 bilion ini jika dikutip, dapat membina 316,000 buah rumah kos rendah.


- Keempat, jika digabungkan penjimatan subsidi dan kehilangan hasil berjumlah RM14.5 bilion, defisit tahun 2005 dapat dikurangkan daripada 3.8 peratus daripada KDNK kepada 0.7 peratus daripada KDNK. Ini mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan.


- Kelima, dengan defisit yang lebih kecil ini Kerajaan tidak perlu membuat pinjaman yang banyak.


14. Patutkah Kerajaan Guna Sepenuhnya Sumbangan PETRONAS Untuk Membiayai Subsidi?


• Sebenarnya, sumbangan PETRONAS kepada hasil negara adalah mencukupi untuk membiayai sepenuhnya subsidi keluaran petroleum.

• Namun begitu, perbelanjaan subsidi adalah perbelanjaan hangus. Walaupun Kerajaan boleh membiayai sepenuhnya subsidi yang kian meningkat tetapi ini bukanlah langkah yang terbaik kerana akan menjejaskan pelaksanaan program lain yang lebih produktif.


• Oleh itu, jika rakyat dan Kerajaan dapat berkongsi kos kenaikan harga keluaran petroleum dan mengurangkan jumlah subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan, sebahagian daripada sumbangan PETRONAS boleh dilaburkan ke dalam aktiviti-aktiviti yang menjana pendapatan baru demi kesejahteraan negara dan rakyat.

15. Keuntungan PETRONAS meningkat kerana kenaikan harga minyak. Tidakkah patut PETRONAS menyumbang lebih untuk menangani kesan kenaikan harga minyak?


• Sejak ditubuhkan pada tahun 1974, PETRONAS telah membuat sumbangan besar terhadap pembangunan negara. Dalam tahun kewangan 2004/2005, ia telah menyumbang RM31 bilion dalam bentuk cukai, dividen dan royalti. Ini merupakan peningkatan 47 peratus berbanding dengan sumbangan tahun sebelumnya. Jumlah ini merupakan 53 peratus daripada keuntungan kasar PETRONAS sebanyak RM59 bilion pada tahun kewangan 2004/2005.


• PETRONAS hanya menguasai 30 peratus sahaja pasaran dalam sektor penjualan runcit produk petroleum tempatan, manakala sebahagian besarnya iaitu 70 peratus dikuasai pesaingnya seperti Shell, Esso, Caltex, BP, Mobil dan Projet. Jika PETRONAS dikehendaki menyerap kenaikan harga minyak atau menanggung secara langsung subsidi minyak, ini bermakna ia memberi subsidi juga untuk syarikat-syarikat minyak asing.


• Di Malaysia, PETRONAS mempunyai 3 loji penapis minyak dengan jumlah keupayaan 256,000 tong sehari atau 47 peratus daripada junlah keluaran negara. Baki sebanyak 53 peratus disumbang oleh loji penapisan minyak yang dimiliki oleh Shell (155,000 tong sehari), Exxon-Mobil (88,000 tong sehari) dan Conoco Phillips (48,000 tong sehari). Oleh kerana Malaysia menggunakan 520,000 tong sehari, adalah jelas bahawa untuk memenuhi keperluan, kita juga perlu bergantung kepada loji penapisan milik syarikat minyak antarabangsa.

Jadual 6


• Di samping itu, PETRONAS telahpun memberi subsidi gas untuk sektor tenaga negara ini berjumlah RM25 bilion sejak Mei 1997. Harga gas yang ditetapkan kepada sektor tenaga pada masa ini hanyalah RM6.40 per million British Thermal Unit (mmbtu) sahaja sedangkan harga gas berasaskan harga komersial ialah sebanyak RM25.70 per mmbtu. Harga gas yang rendah ini membolehkan Malaysia mengekalkan tarif elektrik pada tahap yang munasabah.

16. Apakah kesannya jika PETRONAS menggunakan kesemua keuntungannya untuk menampung subsidi?


• PETRONAS adalah sebuah entiti perniagaan yang beroperasi di negara ini dan di peringkat antarabangsa. Jika sebahagian besar keuntungannya digunakan untuk subsidi, mungkin ia akan dianggap sebagai syarikat yang tidak bertanggungjawab dan akan menjejaskan kredibilitinya. Akibatnya, PETRONAS mungkin diturunkan tarafnya oleh agensi penarafan antarabangsa.


• Peranan utama PETRONAS adalah mengurus dan mengekalkan sumber minyak dan gas negara kita. Bagi mencapai matlamat ini, keuntungan mestilah dilaburkan semula untuk kegiatan carigali baik dalam negeri dan luar negeri. Keuntungan juga perlu dibelanjakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan.


• Dalam tahun kewangan 2004/2005, PETRONAS melabur 61 peratus daripada jumlah pelaburannya atau sebanyak RM10.7 bilion untuk aktiviti carigali. Jika tidak ada pelaburan baru, Malaysia akan menjadi pengimpot bersih petroleum menjelang tahun 2009.


• Pelaburan oleh PETRONAS dalam aktiviti carigali, telah meningkatkan rizab minyak negara sebanyak 2-3 peratus setahun. Ini tidak akan berlaku jika semua keuntungan digunakan untuk subsidi.


17. Apakah pilihan Kerajaan dalam menangani kenaikan harga petroleum?


• Dalam menghadapi isu subsidi produk petroleum serta kaitannya dengan kedudukan kewangannya, Kerajaan mempunyai tiga pilihan, iaitu:


- Mengekalkan harga runcit petroleum walaupun harga pasaran antarabangsa naik. Ini bermakna keseluruhan kenaikan harga produk akan dibiayai oleh Kerajaan melalui peningkatan bayaran subsidi serta kehilangan hasil cukai. Jurang antara harga pasaran dengan harga subsidi juga akan semakin luas. Peningkatan subsidi dan kehilangan cukai bererti semakin kurang peruntukan dapat disediakan untuk tujuan pembangunan negara dan Kerajaan akan berdepan dengan masalah kewangan yang kritikal; atau


- Memansuhkan subsidi dan menarik balik pengecualian cukai dan membiarkan harga naik sehingga mencerminkan harga pasaran. Dengan ini tiada lagi jurang antara harga pasaran dan harga subsidi. Ini bererti pengguna akan menanggung keseluruhan kenaikan harga tersebut. Beban sepenuhnya akan dirasai oleh semua pengguna produk petroleum. Kerajaan dapat menjimatkan wang yang banyak untuk membiayai projek pembangunan dan rakyat perlu membayar harga pasaran produk petroleum. Namun begitu dalam keadaan ini Kerajaan mungkin dituduh keterlaluan dan dianggap zalim; atau


- Menaikkan harga sedikit seperti keadaan sekarang. Jurang di antara harga pasaran dan harga subsidi dapat dikurangkan. Ini bererti sebahagian kenaikan dipindahkan kepada pengguna dan sebahagiannya ditanggung oleh Kerajaan melalui subsidi. Tanggungan subsidi juga dapat dijimatkan dan penjimatan itu dapat membiayai perbelanjaan yang lebih produktif. Kenaikan harga secara sederhana tidak akan memberi kesan mengejut kepada rakyat dan memberikan ruang untuk rakyat dan pengguna membuat penyesuaian sewajarnya dalam perbelanjaan mereka.


• Pada pandangan Kerajaan jurang antara harga pasaran dunia dan harga dalam negeri perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat. Oleh itu pilihan ketiga, adalah jalan tengah dan merupakan pilihan terbaik. Ini bermakna Kerajaan akan terus menyediakan subsidi dan rakyat berkongsi sedikit dengan Kerajaan dalam menangani kenaikan harga minyak.


18. Apakah langkah-langkah Kerajaan untuk menggalakkan sumber tenaga alternatif?


• Kerajaan menggalakkan penggunaan natural gas vehicles (NGV). Antara insentif yang disediakan oleh Kerajaan untuk menggalakkan penggunaan NGV ialah:


o pengurangan cukai jalan iaitu 50 peratus untuk kenderaan monogas dan 25 peratus untuk kenderaan bi-fuel (diesel) dan dual-fuel (gasoline); dan

o menetapkan harga NGV pada paras 50 peratus lebih rendah daripada harga pam petrol.


• Kerajaan juga sedang menggalakkan penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui (renewable energy) melalui program SREP (Small Renewable Energy Programme) iaitu projek penjanaan kurang daripada 10 MW dengan menggunakan biomass, landfill gas dan mini hidro.


• Bagi projek hidroelektrik, projek yang sedang dalam pembinaan ialah projek hidroelektrik Bakun. Projek ini dijangka siap tahun 2010 dan dijangka dapat menjana kuasa dengan kapasiti 2,400 MW.


• Di samping itu, Kerajaan juga bercadang memperkenalkan penggunaan biodiesel atau green fuel dengan menggunakan minyak kelapa sawit yang dicampurkan dengan diesel untuk kenderaan.


19. Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh rakyat sebagai pengguna?


• Berikutan dengan kenaikan harga minyak, terdapat di kalangan peniaga yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan. Oleh itu, sebagai pengguna, rakyat perlulah bertindak dengan bijak dalam berbelanja. Ini termasuk bijak dalam membuat pertimbangan berasaskan maklumat serta bertanggungjawab ke atas perbelanjaan.


• Pengguna mestilah berhemat dalam perbelanjaan dengan berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan. Di samping itu, pengguna perlu membuat pilihan bijak dengan membandingkan harga dan kualiti barangan dan kedai sebelum berbelanja. Ini secara langsung dapat meningkatkan kedudukan kewangan keluarga.


• Dengan berbelanja secara berhemat dan merancang perbelanjaan, pengguna boleh mengurangkan pembaziran.


• 41 peratus dari penggunaan tenaga digunakan oleh sektor pengangkutan. Oleh itu, dari segi penggunaan minyak, dengan merancang perjalanan lebih awal, berkongsi kereta atau menaiki kenderaan awam, perbelanjaan ke atas minyak boleh dikurangkan.


20. Apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh rakyat?


• Rakyat perlu sedar bahawa dalam masa 19 tahun lagi, tiada setitik minyak pun akan dapat dikeluarkan dari bumi atau dasar laut Malaysia. Oleh itu, kita perlu menggunakan hasil petroleum ini dengan berhemat. Kita mesti mencari jalan mengurangkan pergantungan terhadap minyak dan memainkan peranan menggunakan hasil minyak hari ini untuk tujuan produktif. Kita mesti berjimat cermat, jangan membazir dan mencari sumber tenaga alternatif seperti biofuel.


• Beberapa negara seperti Indonesia dan Thailand telah memperkenalkan langkah-langkah penjimatan tenaga yang radikal. Rakyat negara ini wajar menyokong usaha Kerajaan berhubung dengan penggunaan tenaga secara berhemat.


• Kerajaan akan bertindak tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab yang mengaut
keuntungan (profiteering) berlebihan. Pengguna boleh memainkan peranan dengan melaporkan kegiatan tidak beretika ini kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil. Peniaga, pedagang dan pengusaha pula perlu bersikap patriotik dan tidak mengkhianati orang ramai dengan menaikkan harga barangan atau jualan sewenang-wenangnya.


Unit Perancang Ekonomi
Jabatan Perdana Menteri
31 Julai 2005


# maner-maner yg tak jelas tu silalah melawat ke web www.epu.jpm.my sebab dah tentunya jadual2 tu semer tak dpt dia masukkan ke dlm ini blog.. teknikal problem.. heheheheh

No comments: